<< Blog Kelas Latihan Silat Cekak Pusaka Hanafi USJ. *Bukan laman rasmi Silat Cekak:




<< pesan Guru : "Sebenar Guru ada Hakikat, Dikuat pula amalan Syariat, Ditambah pula ilmu Maarifat, Berpakaian pula dengan Isyarat."


<< e-mailkan artikel atau berita menarik ke warisanhanafi.usj@gmail.com





Pautkan berita terkini kami di blog/laman web anda

Silat Cekak Hanafi USJ [v2.1]

Grab this Headline Animator



Isnin, April 27, 2009

PERUTUSAN PERSATUAN - PEKELILING MMK


Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Pekeliling MMK 09/12
27 April 2009

Semua Ahli,
Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia.

Tuan / Puan,
MAKLUMAN SITUASI SEMASA PERSATUAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI MALAYSIA

Sukacitanya perkara diatas adalah dirujuk.
Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (PSSCUHM) telah mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa berdasarkan Perlembagaan Persatuan, Peraturan 7, Ceraian 23 (b), pada 28 Mac 2009 (Sabtu), pada jam 10.00 pagi, bertempat di Dewan Tertutup, Kompleks Rakan Muda, Sementa, Kelang, Selangor Darul Ehsan dengan dihadiri seramai 318 orang Perwakilan diseluruh Malaysia iaitu sekitar 77.6% peratus kehadiran daripada jumlah maksima Perwakilan sebanyak 410 orang.

Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa ini di adakan atas desakan 10 buah Cawangan Negeri di Malaysia yang menuntut Presiden memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa tersebut kerana hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Majlis Mesyuarat Kebangsaan Bagi Sessi 2006/2009 yang telah gagal melaksanakan amanahnya berdasarkan Perlembagaan Persatuan dan ketetapan Mesyuarat Agung Perwakilan serta enggan memanggil Mesyuarat Agung Tahunan Bagi Tahun 2006, 2007 dan 2008 dan Minit Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kebangsaan Bagi Sessi 2009/2012 telah difailkan dengan sempurna di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 31 Mac 2009.

Satu laporan polis telah dibuat terhadap En.Ramlee Bin Abd.Rahman (Mantan Setiausaha Agung), En.Amrahi Bin Buang (Mantan Bendahari Agung), En.Abd Azman Bin Johan dan En.Kamarul Baharaini Bin Abd.Latiff (Mantan Juruaudit Dalaman) kerana telah enggan dan engkar untuk menyerahkan Penyata Aktiviti dan Kewangan PSSCUHM pada 26hb April 2009.

Adalah dimaklumkan juga bahawa pembubaran 10 Buah Cawangan Negeri oleh MMK 2006/2009 adalah tidak sah kerana Mesyuarat Agung Luar Biasa Cawangan Negeri yang hilang kepercayaan dan keyakinan kepada En.Ramlee Bin Abd.Rahman (mantan Setiausaha Agung) telah diadakan pada bulan Februari 2009 dan MMK 2006/2009 telah tamat tempohnya selama 3 tahun pada 11hb Mac 2009.

Turut dimaklumkan bahawa pengguguran keahlian beberapa orang ahli Seumur Hidup persatuan ini adalah tidak sah kerana pemakluman tersebut hanya diterima selepas tarikh 21hb April 2009, iaitu selepas Majlis Mesyuarat Kebangsaan 2009/2012 terbentuk pada 28hb Mac 2009.

Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan kepada pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan kesahihan Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa mahupun Majlis Mesyuarat Kebangsaan Bagi Sessi 2009/2012 tersebut, bolehlah mencabarnya dimana-mana mahkamah di Malaysia yang merupakan badan yang berwibawa untuk menentukan samada sesuatu Mesyuarat Agung tersebut sah ataupun tidak.

Suka saya tegaskan disini bahawa berkuatkuasa selama 3 tahun, bermula daripada 28hb Mac 2009, Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia ditadbir oleh Majlis Mesyuarat Kebangsaan 2009/2012 (rujuk laman web rasmi persatuan www.silatcekakhanafi.org) yang telah dipilih pada Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa yang telah diadakan pada 28hb Mac 2009 dan akan berakhir tempohnya pada 27hb Mac 2012. Ahli-ahli juga dinasihatkan supaya berhubung terus dengan pejabat pengurusan jika memerlukan penjelasan dan keterangan terperinci.

Sekian, wassalam.


MOHAMAD AMIN BIN ZAINUL ABIDIN
Setiausaha Agung

Baca lagi...

Berita terkini

Assalammualaikum warga CH sekalian,

Semoga berada di dalam keadaan sihat walafiat sentiasa di samping kebenaran yang nyata. Mudah-mudahan dijauhkan dari kebatilan dan rakusnya nafsu manusia.

Dah lama kami tidak menulis di sini secara bebas dan tanpa was-was untuk menyampaikan sedikit sebanyak info dan perkembangan tentang aktiviti kelas dan persilatan. Setelah melalui pengalaman yang bagi kami amat berharga tidak berapa lama dahulu, tinta-tinta kami terpaksa dinukilkan dengan lebih cermat dan teratur bagi mengelakkan bait-bait perkataan dan maklumat di sini diguna pakai oleh pihak-pihak tertentu yang amat seronok memanipulasi fakta dari keadaan yang sebenar. Walau bagaimanapun, dengan tatacara dan guideline yang diberi, insyallah kami akan menyampaikan sedikit sebanyak info dan maklumat terkini khususnya tentang aktiviti kelas USJ dan sekitarnya.

Di antara berita dan perkembangan terbaru kelas USJ semenjak dua menjak ni ialah telah munculnya beberapa srikandi dari bumi Johor Darul Takzim ke kelas USJ yang sememangnya kekurangan bunga-bungaaan di taman. Kehadiran mereka-mereka ini telah manambahkan lagi keserian dan kesuburan tanah di padang latihan terbabit. Almaklumlah, setelah sekian lama kelas USJ dihuni oleh beberapa kumbang-kumbang sepi yang masih tak ada yang punya lagi, macam mana nak dtg serinya. keh keh keh.

Kepada mereka yang baru sampai ke kelas USJ, kami ucapkan selamat datang dan tahniah kerana berjaya mencari jalan untuk sampai ke sini, walaupun ada yang tersesat berkali-kali dan barangkali ada pengguna jalan raya lain ternaik divider dek terkejut ternampak beberapa motorsikal bergerak tanpa pemandu di waktu malam, dan ada juga yang sanggup datang daripada jauh untuk berlatih di kelas USJ, mereka tetap sampai dengan jaya dan selamatnya. Tahniah! *gambar akan menyusul kemudian

Kami tanpa segan silu mengalu alukan kedatangan anda semua ke kelas USJ. Mudah-mudahan dengan kehadiran anda semua akan dapat memeriahkan lagi suasana kelas dan membantu sedikit sebanyak perkembangan di kelas USJ yang serba kekurangan ini. Dan kami menjemput juga ahli-ahli lama atau baru yang tinggal berdekatan kawasan USJ/Subang Jaya untuk datang ke kelas USJ sekiranya ingin menyambung latihan mahupun sekadar menyambungkan silaturahim. Kedatangan anda dialu-alukan.

Semoga perhubungan di antara sesama murid-murid dan guru YM Tuan Guru Hj Md Radzi Hj Hanafi sentiasa berkekalan dan diberkati selamanya. Dan semoga sentiasa diselamatkan daripada menjadi anak murid yang durhaka terhadap Guru yang banyak berjasa dari segi zahir mahupun batin. Amin Ya Rabbil Alamin.


Wassalam.


Segerak Searah!

Baca lagi...

Khamis, April 09, 2009

Silat dan Agama


Oleh Y.M. Almarhum Ustaz Hanafi Hj. Ahmad.


Dalam kertas ini ilmu bela diri adalah dimaksudkan dengan ilmu untuk mempertahankan diri daripada ancaman-ancaman, pencerobohan-pencerobohan dan keganasan-keganasan yang dilakukan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab khususnya musuh Allah. Mempertahankan diri pula, dalam ertikata yang luas ialah mempertahankan diri sendiri dan apa jua yang berkaitan dengan diri atau agama, harta dan negara.

Dalam soal mempertahankan diri dari ancaman dan serangan musuh, ada pihak-pihak yang mengatakan bahawa ilmu bela diri tidak lagi diperlukan kerana kita sudah ada senjata-senjata moden yang boleh membunuh musuh dari jarak jauh. Memang kita tidak menafikan kenyataan bahawa senjata moden itu dapat membedil musuh dari jarak jauh, namun kita berasa hairan kenapakah pada setiap muncung senapang ada diletakkan benet? Tujuan apakah benet itu diletakkan? Bukankah tujuannya untuk menikam musuh dari jarak dekat? Ini membuktikan bahawa ilmu bela diri masih diperlukan walaupun di zaman serba kemajuan yang mempunyai cukup senjata-senjata modennya.



Seperkara lagi, walaupun manusia telah dapat mereka berbagai-bagai alat dan senjata untuk menjamin keamanan manusia dari ancaman musuh, namun ternyata bahawa manusia masih lagi terdedah kepada berbagai-bagai jenis pencerobohan dan ancaman. Oleh itu persedian untuk menjaga diri, agama, harta dan tanahair sentiasa merupakan keperluan asasi lagi dituntut oleh agama.

Nyawa adalah hak Allah. Menjaga dan mempertahankan nyawa menjadi suatu kewajipan utama yang tidak dapat dipertikaikan lagi oleh sesiapa pun. Dengan itu mempelajari ilmu bela diri sebagai alat mempertahankan diri merupakan suatu perkara wajib. Kenyataan ini sejajar dengan firman Allah yang bermaksud "Dan sediakanlah apa jua jenis kekuatan yang kamu dapat sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap bersedia, kamu menggentarkan dengannya musuh Allah dan musuh kamu dan musuh-musuh lain juga yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahuinya".

Tuntutan agama supaya seseorang itu mempersiapkan diri dengan ilmu bela diri sudah tentu mempunyai banyak hikmat-hikmatnya yang tersembunyi. Salah satu hikmatnya yang paling nyata sekali ialah seseorang yang mempelajari ilmu bela diri, dia akan dipanadng mulia dan disanjung oleh sahabat dan masyarakatnya, namun sebaliknya pula pihak musuh merasai gentar dan gerun terhadapnya. Demikianlah kelebihannya orang yang memiliki ilmu bela diri.

Dalam surah al-Zumar, Allah berfirman dengan maksudnya : "…..katakanlah wahai Muhammad : Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakal sahajalah yang dapat menerima pelajaran." Dalam ayat yang lain Allah berfirman lagi dengan maksudnya : "Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan juga orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat…"

Jelaslah di sini bahawa, kedudukan ilmu bela diri adalah penting dan tinggi statusnya di sisi Islam. Setiap orang hendaklah sedar tentang pentingnya ilmu ini dan mengambil langkah-langkah untuk mempelajarinya.

Bagi bangsa Melayu, ilmu bela diri yang harus dipelajarinya ialah ilmu silat, kerana di samping ianya dapat digunakan untuk membela diri ia juga merupakan lambang kebudayaan bangsa Melayu. Pada masa sekarang berbagai-bagai jenis ilmu silat Melayu boleh ditemui dan dipelajari. Di antaranya ialah Seni Silat Cekak, Silat Gayung, Silat Gayung Petani, Silat Lincah dan Silat Sendeng. Namun persoalannya sekarang, adakah semua jenis ilmu-ilmu silat Melayu itu benar dan sejajar dengan ajaran dan akidah Islam?

Bagi menjawab persoalan tersebut, seseorang itu hendaklah mengkaji dan menyelidiki dengan teliti jenis-jenis ilmu silat Melayu yang ada, untuk mempastikan kebenarannya sebelum mempelajarinya. Ringkasnya, saya dapat jelaskan bahawa ilmu silat yang sebenar itu mempunyai ciri-ciri yang tertentu seperti berikut :

Bahawa ilmu silat tidak mengamalkan adat-adat istiadat yang berunsur tahyul dan khurafat; Bahawa ilmu silat itu melatih serta mendidik ahli-ahlinya dengan keberanian bukan mengganas atau menceroboh; dan Bahawa ilmu silat itu mengamalkan ilmu kebatinan yang sebenarnya.
Seni Silat Cekak adalah sejenis silat Melayu yang asli dan boleh dipertanggungjawabkan untuk membela diri. Adat-adat istiadat yang digunakan dalam silat ini adalah bersih dan jauh dari unsur-unsur tahyul dan khurafat. Sesungguhnya Silat Cekak sememangnya mendokong cita-cita untuk membanteras amalan tahyul dan khurafat yang terdapat dalam silat-silat Melayu. Antara amalan-amalan karut yang pernah diamalkan oleh setengah-setengah silat ialah membedah dada ayam yang masih hidup untuk melihat hati dan jantungnya bagi tujuan ilmu bela diri; menyapu darah ayam pada kaki untuk untuk mendapat mimpi atau ilham tertentu; menyiram darah ayam di sekitar gelanggang silat untuk meminta sesuatu hajat dan lain-lain lagi. Kita ingin bertanya, untuk siapakah darah ayam itu disiram? Bukankah untuk jin?

Dari segi pelajaran, Seni Silat Cekak mempunyai kaedah pelajaran yang tetap dengan buah-buah pukulan yang cukup lagi kemas serta kunci-kunci tangkapan yang lengkap. Pergerakannya pula sesuai benar dengan gerak-geri semula jadi manusia yang berdasarkan fikiran yang sihat, jiwa yang tenang dan nyata kesesuaiannya dengan prinsip agama. Pelajaran Seni Silat Cekak tidak sepeti kebanyakan silat-silat lain. Ia lebih menitik beratkan kepada mempertahankan diri supaya terlatih dengan keberanian, bukan mengganas atau menceroboh.

Silat Cekak hanya menyerang apabila terpaksa, demi menjaga keselamatan diri. Sistem pelajaran sedemikian itu secocok dengan ajaran al-Quran yang mengajur supaya tidak menceroboh kecuali diceroboh terlebih dahulu. Firman Tuhan dengan maksudnya : "Sesiapa yang memusuhi kamu, maka hendaklah kamu memusuhinya sebagaimana dia memusuhi kamu." Pelajaran silat yang menumpukan kepada kaedah menyerang semata-mata dipercayai bukan sahaja akan membangkitkan semangat angkuh dan bogkak di kalangan ahli-ahli silat akan tetapi mendorong mereka berlaku kasar dan ganas.

Di samping Silat Cekak melatih sifat keberanian yang merupakan sifat lelaki (rijal) ia juga mendidik ahlinya berperangai baik, hidup bersaudara dan menganjur mereka patuh kepada guru dan tidak menderhaka kepada kedua ibu bapa. Islam menyuruh patuh kepada guru dan kedua ibu bapa dan melarang keras perbuatan menderhaka kepada mereka. Pendidikan supaya patuh kepada guru dan kedua ibu bapa serta kelebihan-kelebihannya ada dirakamkan di dalam pantun Silat Cekak berikut sebagai rujukan ahli-ahli :

Sebenar guru ada hakikat,
Dikuat pula amalan syariat,
Ditambah pula ilmu makrifat,
Berpakaian pula dengan isyarat.

Taat kepada guru membawa berkat,
Sedikit belajar banyak yang dapat,
Jika menderhaka menjadi mudarat,
Semua ilmu tiada yang lekat.

Dua ibu bapa tak boleh derhaka,
Besar jasa kepada kita,
Kalau menderhaka bahaya menimpa,
Di akhir kelak merosak kita.


Seni Silat Cekak pada hakikatnya adalah silat gerak. Silat makan segerak; makan gerak di dalam gerak. Adalah mustahil sama sekali dalam suatu ketika itu berlaku dua gerak.

Pada pandangan Seni Silat Cekak, ilmu kebatinan yang sebenar itu ialah ilmu untuk mengingati Allah dengan sebenar-benarnya sehingga hati sentiasa terjaga walaupun mata kasarnya lena. Tujuan mengingati Allah itu ialah untuk membersihkan hati dari penyakitnya seperti megah, riya' dan dengki dan supaya hati sentiasa ikhlas terhadap Allah. Setelah hati bersih dan ikhlas barulah Allah membuka dan mengurniakan kepada kita rahsia-rahsia hakikat dan makrifatnya. Pada ketika itu tercapailah tujuan hidup kita iaitu untuk menjadi hamba Allah semata-mata.

Golongan yang menjalani ilmu kebatinan seumpama ini adalah mereka yang berpegang teguh dengan ilmu hakikat dan menganut sepenuhnya ilmu syariat yang kedua-keduanya dari syariat nabi besar Muhammad S.A.W. Ilmu ini jika diperolehi, bermacam-macam kelebihan yang Allah kurniakan. Jika seorang pendekar, maka sangat pantas kaki tangannya. Tatkala berdepan dengan musuh mendapat maunah Allah, dan ketika berhujah dapat mematahkan hujah lawan dengan mudahnya.

Sekiranya kita tidak meneliti dan mendalami ilmu kebatinan yang sebenarnya ini, kita boleh tertipu dengan perkara-perkara luar biasa yang datangnya dari ilmu-ilmu kebatinan yang tidak sebenar, misalnya seseorang dapat membuktikan ilmu kebalnya dengan berjalan di atas bara api atau tidak mati walau ditanam di dalam tanah, maka kita boleh menyangka bahawa itulah ilmu batin yang sebenarnya.

Perkara-perkara luar biasa yang mencarik adat bolehlah kita kategorikan kepada lima iaitu pertamanya mukjizat, ia diberi kepada rasul-rasul Allah; keduanya Irhas, ia diberi kepada nabi-nabi; ketiganya keramat, ia dikurnia kepada wali-wali Allah; keempatnya hikam/ma'unah, ia dikurniakan kepada orang-orang mukmin. Sementara kelimanya istidraj atau sihir, ia terjadi kepada orang-orang munafik, fasik dan kuffar.

Kesimpulannya bahawa Islam sememangnya memandang mulia terhadap ilmu-ilmu bela diri kerana ia adalah suatu cabang ilmu pengetahuan yang digesa untuk dipelajari. Walau bagaimanapun bidang-bidang ilmu bela diri bermacam-macam, ada yang sesuai dengan ajaran Islam dan ada yang tidak sesuai dengan ajaran Islam. Ilmu bela diri yang sesuai dengan Islam ialah ilmu bela diri yang dapat mendidik peribadi ahlinya menjadi baik, berani dan mengarahkan mereka kepada bertakwa kepada Allah. Seni Silat Cekak merupakan sejenis ilmu bela diri bangsa Melayu yang asli yang boleh bertanggungjawab untuk mempertahankan diri serta selari pula dengan ajaran Islam yang sejati.


wassalam.


*sumber dari Canang.com

*Last edited by mat peace221 (2009-03-11 12:52:14)


Baca lagi...

Tuan Hussin Kedah


Abu Abdullah Hussin bin Muhammad Nasir bin Muhammad Thayyib bin Mas’ud bin Qadhi Abu Su’ud bin Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dilahirkan pada hari Ahad 20 Jumadil Awwal 1280H bersamaan 2 November 1863 di Titi Gajah, Kedah. Nama timangan sewaktu kecilnya adalah Che Megat. Gelaran Megat diperolehi kerana ayah beliau Haji Muhammad. Nasir, seorang kebanyakan telah berkahwin dengan Tengku Fathimah binti Tengku Mahmud, seorang kerabat Diraja Kubang Pasu, Darul Qiyam. Kemudiannya beliau mashyur dengan nama Tuan Guru Tuan Hussin Kedah.Keturunan Tuan Hussin Kedah adalah berasal dari Kelompoyan Martapura Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia. Dan beliau adalah dari keturunan seorang ulama yang sangat tersohor di Nusantara iaitu Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, pengarang kitab Sabil al-Muhtadin. Sejarah kedatangan keturunan beliau ke Kedah adalah apabila datuk kepada datuknya yang bernama Qadhi Haji Abu Su’ud diceritakan bahawa beliau pulang dari Makkah untuk meneruskan perjalanannya pulang ke Banjar telah singgah di Kedah. Apabila sultan Kedah mendapat tahu kehadiran ulama Banjar ini maka baginda Sultan Kedah telah meminta kepadanya supaya tinggal di Kedah untuk menjadi guru baginda dan juga rakyat Kedah. Di Kedah Qadhi Haji Abu Su’ud al-Banjari atas kehendak Sultan Kedah telah kahwin dengan perempuan bernama Rajmah. Dari perkahwinan itu memperoleh anak dinamakan Mas’ud, iaitu moyang kepada Tuan Hussin Kedah.

Moyang kepada Tuan Hussin Kedah ini iaitu Haji Mas’ud bin Qadhi Abu Su’ud selain menjadi ulama di Kedah, beliau juga dilantik oleh Sultan Kedah, menjadi salah seorang panglima perang kerajaan Kedah ketika menentang kerajaan Thai (Siam Buddha). Dan beliau gugur sebagai syahid ketika peperangan menentang Thai.

Pendidikan dan Membuka Pondok

Tuan Hussin Kedah mendapat didikan awal dari datuknya Haji Muhammad Thayyib bin Mus’ud al-Khalidi an-Naqsyabandi dipondok Titi Gajah. (InsyaAllah, tulisan mengenai tokoh ini akan paparkan keblog ini nanti). Seterusnya beliau menyambung pelajarannya di Pondok Bendang Daya, Fathani. Beliau sempat belajar dengan Tuan Guru Syaikh Haji Wan Mushthafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan selanjutnya kepada anak beliau, Syaikh Abdul Qadir bin Syaikh Wan Mushthafa (Tok Bendang Daya II). Ketika di Bendang Daya dipercayai beliau bersahabat dengan Wan Ismail bin Mushthafa al-Fathani (Tok Ayah Doi – pengasas pondok Gajah Mati, Kedah) dan Tok Kelaba. Selain di Bendang Daya, Tuan Husein Kedah juga pernah belajar di Pondok Semela, pondok dimana datuknya pernah menuntut ilmu. Tuan Hussain Kedah telah merantau ke Kelantan, Terengganu, Singapura, Johor dan Perak untuk mendalami ilmu agama.

Setelah lama di perantauan mencari ilmu, beliau kembali ke Titi Gajah dengan niat untuk membantu datuknya mengajar. Memang sudah menjadi tradisi pada zaman tersebut, tidak lengkap ilmu seseorang sekiranya tidak melanjutkan pelajaran ke Mekah, yang merupakan pusat ilmu ketika itu. Maka pada tahun 1892, beliau berangkat ke Mekah bersama isterinya iaitu Wan Khadijah binti Wan Yusuf untuk mengerjakan haji dan menambahkan pengetahuan agamanya. Ketika di Mekah beliau sempat berjumpa dan berguru dengan ulama-ulama besar disana seperti Syaikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syaikh Nawawi al-Bantani, Syaikh Umar Sumbawa, Syaikh Ahmad Umar Bali, Syaikh Ahmad Lingga, Syaikh Wan Ahmad al-Fathani dan ramai lagi.

Apabila Tuan Hussain pulang dari Mekah pada tahun 1896M, beliau meneruskan pengajarannya di pondok Titi Gajah dan pada waktu yang sama beliau ditawarkan untuk membuka pondok di kampung Alor Ganu, sebuah perkampungan yang berhampiran. Beliau menerima tawaran tersebut dan mengajar di sana selama tiga tahun. Pada tahun 1900, beliau berpindah ke Bohor dan membuka pondoknya di sana. Pelajar-pelajar lelaki dan perempuan di pondok Bohor berumur antara 15 hingga 60 tahun. Terdapat dua kumpulan pondok iaitu Pondok Dalam di mana disediakan untuk orang yang sudah berkeluarga dan Pondok Luar untuk anak-anak bujang. Tuan Hussin mengendalikan pondoknya di Bohor selama 12 tahun sehingga beliau terkenal dengan panggilan “Tuan Hussain Bohor”.

Pada tahun 1912, Tuan Hussin berpindah pula ke Bagan Ulu dan membuka pondok di situ. Tempat ini sekarang dikenali sebagai Pantai Merdeka. Pelajar-pelajarnya berjumlah lebih 400 orang. Antara pelajar-pelajarnya yang terkenal ialah Dato’ Haji Abdul Rahman bin Haji Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok. Tuan Hussin mentadbir pondok Bagan Ulu selama 8 tahun sebelum membuka pondok baru di Selengkoh, Mukim Sungai Limau. Keadaan persekitaran di Selengkoh yang becak mengurangkan penuntut Tuan Hussin. Beliau berkhidmat di sana selama 4 tahun dan kemudiannya berangkat mengerjakan fardhu haji bersama anak dan cucu-cucunya. Kepulangannya dari Mekah pada tahun 1924M telah memberi ilham kepada Tuan Hussin untuk membuka pondok baru pula di Padang Lumat. Dan seterusnya beliau membuka pondok di Pokok Sena, Seberang Perai pada akhir tahun 1929M. Tuan Hussin Kedah adalah seorang ulama yang wara’ dan rajin beribadah. Sering membawa tongkat ketika berjalan. Beliau bertariqat Syattariah. Beliau adalah seorang tuan guru pondok yang tegas. Pelajarnya tidak dibenarkan merokok dan berambut panjang. Tuan Hussin Kedah adalah seorang ulama besar yang sangat gigih dalam perjuangan menggunakan kalam (perkataan) dan qalam (pena/penulisan) demi penyebaran ilmu pengetahuan Islam. Dalam kesibukan mengajar, beliau masih sempat untuk menulis kitab untuk diwariskan kepada generasi seterusnya. Antara kitab-kitab tulisannya adalah:-


* an-Nurul Mustafid fi Aqaidi Ahlit Tauhid, diselesaikan pada tahun 1305H/1888M. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Kitab ini adalah kitab pertama yang beliau karang.

* Tamrinush Shibyan fi Bayani Arkanil Islam wal Iman, diselesaikan pada hari Sabtu, 1 Syaaban 1318H. Menggunakan nama Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas’udi al-Banjari. Kandungannya membicarakan tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah dinyatakan rujukannya ialah Ummul Barahin, Syarah Hudhudi, karya as-Suhaimi, Hasyiyah Syarqawi dan Dhiyaul Murid. Dicetak oleh Mathba’ah Dar Ihya’ al-Kutub al-’Arabiyah, Mesir, Zulkaedah 1346H, ditashhih oleh Ilyas Ya’qub al-Azhari.

* Hidayatus Shibyan fi Ma’rifatil Islam wal Iman, menggunakan nama Abi Abdullah Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas’udi al-Banjari. Diselesaikan pada hari Isnin, 18 Muharam 1330H. Kandungannya membicarakan tentang tauhid dan fekah. Cetakan yang pertama Mathba’ah At-Taraqqil Majidiyah al-’Utsmaniyah 1330H. Dicetak pula oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345H/1927H. Ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.

* Kisarul Aksir lish Shaghir `indal Kabir li Ma’rifatillahil `Alimil Khabir, diselesaikan pada hari Khamis, 25 Rabiulakhir 1336H. Kandungannya membicarakan tentang tasauf dan thariqat. Cetakan yang ketiga, Al-Huda Press, Pulau Pinang, Safar 1356H/April 1937M.

* Hidayatul Athfal, diselesaikan pada 1336H. Kandungannya pelajaran tauhid untuk kanak-kanak.

* Hidayatul Mutafakkirin fi Tahqiqi Ma’rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan pada 3 Rabiulakhir 1337H. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Cetakan yang pertama Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345H/1927M. Cetakan yang kelima, Mathba’ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1377H/1957M.

* Tafrihus Shibyan fi Maulidin Nabi min Waladi `Adnan, diselesaikan pada hari Selasa 3 Rabiulawal 1341H. Kandungannya mengenai sejarah kelahiran Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم Dicetak oleh Mathba’ah Persama, 83-85, Acheh Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1382H/1962M.

* Tazkiru Qabailil Qadhi, diselesaikan pada 1343H. Kandungannya merupakan Terjemahan Hadits Jawahir al-Bukhari, terdiri daripada dua juzuk, yang telah dijumpai hanya juzuk yang pertama saja. Cetakan yang pertama, Al-Maktabah Zainiyah, Taiping Perak, 1350H Dicatatkan: “Titah membenarkan dicetak dari bawah Duli Yang Maha Mulia as-Sultan Perak atas minit paper Qadhi Kuala Kangsar nombor 149/30”.

* Bidayatut Thalibin ila Ma’rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan 1344H. Kandungannya membicarakan ilmu tauhid. Cetakan yang kedua The United Press, No. 3 Dato’ Keramat Road, Pulau Pinang, 1357 Hijrah. Ditashhih oleh Ilyas Ya’qub al-Azhari.

* ‘Alaqatul Lamiyah wash Sharfiyah, diselesaikan 1345H. Kandungannya membicarakan ilmu sharaf atau perubahan perkataan dalam bahasa Arab.

* Ushulut Tauhid fi Ma’rifati Thuruqil Iman lir Rabbil Majid, diselesaikan 6 Syawal 1346H. Kandungannya membicarakan falsafah ilmu tauhid dan ilmu fekah. Dicetak oleh Mathba’ah az-Zainiyah, Taiping, Perak, hari Jumaat, 4 Jamadilakhir, 1347H (cetakan kedua). Cetakan ulangan oleh percetakan yang sama tahun 1355H (cetakan ketiga). Dicetak semula dengan kebenaran anak pengarangnya Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Husein, Qadhi Besar Pulau Pinang dan Seberang Perai kepada The United Press, Pulau Pinang, selesai cetak 11 Jumadilawwal 1393H

* Hidayatun Nikah, diselesaikan 1347H. Kandungannya membicarakan perkara-perkara mengenai nikah kahwin.

* Qathrul Ghaitsiyah fi `Ilmish Shufiyah `ala Syari’atil Muhammadiyah, diselesaikan 25 Jumadilawwal 1348H. Kandungannya membicarakan tasawuf. Cetakan yang kedua, Mathba’ah Persama, 93 Acheh Street, Pulau Pinang.

* Majmu’ul La-ali lin Nisa’ wal Athfaliyi, juzuk yang pertama, disele- saikan pada hari Jumaat, 5 Jamadilakhir 1350H. Kandungan mukadimahnya menyatakan bahawa judul ini terdiri daripada sepuluh juzuk. Juzuk yang pertama, membicarakan hukum taharah dalam bentuk soal-jawab. Cetakan yang ketiga The United Press, Pulau Pinang, Jamadilakhir 1360H.

* Majmu’ul La-ali lin Nisa’ wal Athfaliyi, juzuk ke-2, diselesaikan petang Isnin, 20 Rejab 1350H. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang dalam bentuk soal-jawab. Tidak terdapat nama percetakan. Dicetak pada 22 Jumadilakhir 1352H (cetakan kedua), dinyatakan bahawa terdapat tambahan daripada cetakan yang pertama. Cetakan yang ketiga The United Press, Pulau Pinang, 3 Jumadilakhir 1360H.

* Tabshirah li Ulil Albab, diselesaikan tahun 1351H. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid.

* Hidayatul Ghilman, diselesaikan pada tahun 1351H. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid yang ditulis dalam bahasa Arab.

* Nailul Maram fi ma Yujabu Husnul Khitam, diselesaikan pada hari Ahad, 6 Sya’ban 1354H. Kandungannya membicarakan tentang beberapa amalan zikir dan wirid untuk mendapatkan husnul khatimah. Dicetak oleh The United Press, dikeluarkan oleh Haji Ahmad bin Tuan Husein dengan catatan: “Dicap risalah ini untuk mendapat khairat bagi al-Madrasah al-Khairiyah al-Islamiyah, Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai.”

* Tanbihul Ikhwan fi Tadbiril Ma’isyah wat Taslikil Buldan, diselesaikan pada tahun 1354H. Kandungannya membicarakan tentang penghidupan dan pentadbiran pemerintahan.

* Bunga Geti, diselesaikan pada tahun 1354H. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang qadha atau mengganti sembahyang yang ketinggalan. Kitab ini merupakan kitab terakhir yang beliau tulis.


Meninggal DuniaMenurut catatan dari keluarganya ketika beliau jatuh sakit, Tengku Abdullah; bekas muridnya meminta beliau pulang ke Kedah. Dan beliau pulang ke Kedah setelah dirayu oleh anaknya. Tengku Abdullah telah mengambil beliau di Pokok Sena dan dibawa ke rumahnya di Batu 16, Padang Lumat, dan pada 18 Zulkaedah 1354H bersamaan 10 Februari 1936M, dengan kehendak Allah Tuan Hussin pulang ke rahmatullah dan jenazahnya telah dikebumikan di perkuburan Titi Gajah. Perjuangannya diteruskan oleh anakandanya iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, yang juga merupakan Qadhi Besar, Pulau Pinang.Demikianlah sekelumit kisah ulama seorang ulama tersohor dan berjasa. Peranannya dalam pendidikan, dakwah dan penulisan dalam seharusnya menjadi contoh kepada generasi ulama sekarang. Akhirkata, marilah kita hadiahkan al-Fatihah pada ulama besar ini.

al-Fatihah.


*sumber dipetik dari canang.com

Baca lagi...

  © Ourblogtemplates.com Blogger templates 2008