<< Blog Kelas Latihan Silat Cekak Pusaka Hanafi USJ. *Bukan laman rasmi Silat Cekak:




<< pesan Guru : "Sebenar Guru ada Hakikat, Dikuat pula amalan Syariat, Ditambah pula ilmu Maarifat, Berpakaian pula dengan Isyarat."


<< e-mailkan artikel atau berita menarik ke warisanhanafi.usj@gmail.com





Pautkan berita terkini kami di blog/laman web anda

Silat Cekak Hanafi USJ [v2.1]

Grab this Headline Animator



Selasa, Januari 27, 2009

Pengenalan Silat Cekak Ustaz Hanafi


Silat Cekak Ustaz Hanafi ialah Seni Silat Cekak yang benar-benar di amal dan dianjurkan oleh Allahyarham YM Ustaz Hanafi bin Hj. Ahmad, baik dari segi kaedah pembelajaran, konsep, falsafah, prinsip, pegangan, kerohanian dan pembawaannya.

Seni silat ini telah diamalkan oleh keluarga diraja dan panglima-panglima kanan di Negeri Kedah D.A di zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin. Guru yang paling lama diketahui ialah Panglima Ismail. Panglima Ismail telah menurunkan silat ini kepada Panglima Tok Rashid yang kemudiannya mengamanahkan silat ini kepada Encik Yahya Said dengan pesanan supaya menyerahkan balik silat ini kepada anak cucunya dari Kedah. Pada Tahun 1965, YM Ustaz Hanafi Hj. Ahmad telah mengambil balik silat ini dari Encik Yahya Said.

Sejak dilahirkan kembali oleh Allahyarham Ustaz Hanafi Hj. Ahmad, maka bermulalah era baru bagi silat ini. Beliau telah memberi semangat dan pendekatan baru serta berjaya mengangkat martabat pergerakan Seni Silat Cekak sebagai suatu pergerakan yang disegani oleh rakan dan lawan, yang mampu terus memberi sumbangan positif kepada masyarakat.

Silat ini berjaya menarik ribuan ahli dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan cerdik pandai dan profesional.

Kini Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi telah mempunyai cawangan di setiap negeri dan mempunyai kelas- kelas persilatannya di hampir kesemua universiti dan pusat- pusat pengajian tinggi. Anak keempat Allahyarham Ustaz Hanafi Hj. Ahmad, En. Md. Radzi bin Hj. Hanafi kini menerajui persatuan selaku Guru Utama dan Presiden.


PENGERTIAN PERKATAAN CEKAK

MAKAN CEKAK merupakan peribahasa Melayu Kedah yang membawa pengertian kesanggupan, keupayaan dan rasa tanggungjawab dalam menjalankan tugas. Tegasnya silat ini adalah seni silat yang bertanggung jawab untuk menjaga keselamatan diri.

CEKAK dalam bahasa Minangkabau bermaksud gaduh. Jadi silat ini adalah silat gaduh. Tetapi bukan tujuan utama silat ini untuk bergaduh tetapi ia boleh digunakan untuk menjaga keselamatan diri di dalam pergaduhan.

SECEKAK bermaksud segenggam. Bermakna silat ini mengajar yang segenggam bukannya segantang. Ini bermakna pelajaran silat ini merupakan intisari pelajaran silat sahaja (segenggam) bukannya cabang silat yang banyak (segantang).

CEKAK dalam bahasa Jawa bererti ringkas. Silat ini mudah dipelajari melalui sistem pelajaran yang teratur dan ringkas. Tidak perlu mengelak ke kiri dan ke kanan, hanya berdiri lurus ketika menunggu serangan dan bergerak di dalam gerak yang satu.

CEKAK bererti pegangan, iaitu silat ini mempunyai pendirian, pegangan dan tujuannya yang tersendiri. Mempelajari silat bukan untuk bermegah-megah, sombong, menceroboh, mengikut nafsu tetapi sebenarnya untuk menjaga diri, bangsa dan agama.


Sumber dari www.canang.com

Baca lagi...

Pemberitahuan

Semoga Allah s.w.t mencucuri rahmat dan mengampunkan segala dosa-dosa bapa kepada saudari Shamam(ahli SCH MMU CJ) yang telah kembali ke rahmatullah.

Al-Fatihah

Baca lagi...

YM menunaikan Umrah & Ziarah!

Pada tanggal 19hb Jan lepas YM Tuan Guru Hj Md Radzi Hj Hanafi telah berlepas ke tanah suci bagi menunaikan ibadat umrah dan ziarah. Walau pada mulanya kepergian YM tidak digembar-gemburkan tetapi kehadiran rombongan menghantar di lapangan terbang tetap memberangsangkan.

Ramai ahli-ahli dari serata lembah kelang, Negeri Sembilan dan Johor turut sama hadir untuk menghantar YM. Syukur segala urusan berjalan lancar dan sempurna sewaktu di lapangan terbang.

Semoga YM dan rombongan selamat kembali ke tanah air dan dimudahkan segala urusan.


Segerak Searah!

Baca lagi...

Rabu, Januari 14, 2009

Catatan Seorang Tua

Puisi Catatan Seorang Tua

Dideklamasikan oleh YM Haji Mohd. Radzi b. Hj. Hanafi,
Guru Utama Silat Cekak Hanafi,

Pada Malam Puisis Pendekar Dewan Bahasa dan Pustaka
31 Disember 1996

Semalamku ketemu seorang tua
Wajahnya bersinar
Lirik matanya tajam menikam
Lalu ia berpesan


Ada beza antara pemburu
Dan pejuang
Pemburu itu sifatnya mendapatkan
Pejuang itu sifatnya membebaskan
Pemburu itu sentiasa memilih
Pejuang itu tetap pendirian
Pemburu itu tidak pernah puas atas perolehannya
Pejuang itu sentiasa bersyukur atas kurnianNya
Pemburu itu inginkan pujian
Pejuang itu sering dihina biarpun membawa kebenaran
Pemburu itu matlamatnya acap berpindah
Pejuang itu matlamatnya dinamis lagi merdeka

Katanya 
Jadilah pejuang yang ikhlas dihati 
Dan perjuangannya.

Semalamku ketemu seorang tua
Wajahnya gelisah
Lirik matanya redup dan dingin
Lalu ia berpesan


Jangan biarkan payung-payung kecil
Berkembang dibawah naungan payung besar
Kelak hujan tiada
Tetapi air melimpah tidak keruan

Katanya lagi
Lihatlah ke dalam dirimu
Renungkan segala tindakan yang lalu
Jangan menuding ke orang lain
Kelak bayangnya membaluti dirimu
Tambahnya lagi
Jadilah seorang pemimpin
Hidupnya bisa memimpin
Biarpun serba kepayahan
Kerana amanah ini 
Harus dipikul bersama

Semalamku ketemu seorang tua
Wajahnya tenang
Lirik matanya menawan
Lalu ia berpesan


Bersatulah atas nama perjuangan
Perjuangan yang telah lama kita bina
Perjuangan bertunjang hak yang satu
Perjuangan mengenal diri kita
Perjuangan yang bermandikan
Titisan darah dan air mata
Bangunlah wahai anak-anakku
Perjalanan kita masih jauh
Tiada lagi masa lesu untuk kita hampiri
Tiada lagi keluh kesah untuk kita tatapi
Tiada lagi rasa hati untuk kita pendamkan
Tiada lagi keraguan untuk kita sangsikan


Semalamku ketemu lagi seorang tua
Wajahnya lembut
Lirik matanya bersahaja
Senyumnya tampak puas dan ceria
Tiada lagi pesanan dari lelaki tua
Kerana hatinya kini tenang.

Kerana dia tahu kitalah
PEWARISNYA.


Nukilan : NASH A.G
Kuala Lumpur.

Baca lagi...

Khamis, Januari 08, 2009

Silat Melayu The Blog

assalamualaikum

sebuah artikel menarik mengenai persatuan kita di dalam laman blog 'Silat Melayu The Blog'.

video demo di UM juga ada dipautkan bersama artikel tersebut.
juga ada sedikit promosi secara tidak sengaja untuk demo kita di klpac pada 18/1 nanti hehe.

klik link di bawah untuk baca artikel tersebut (dalam b. inggeris).

http://silat-melayu.blogspot.com/2009/01/persatuan-seni-silat-cekak-pusaka-ustaz.html

Baca lagi...

Kisah seorang raja

Kisah yang diceritakan oleh YM Guru Utama Md Radzi Hj Hanafi.

-----

Di sebuah negeri yang aman sentosa bertakhta seorang raja yang memerintah dengan adil. Satu hari sang raja keluar memburu bersama pembesar dan pengawal-pengawalnya. Sang raja ini terkenal dengan kemahiran memburu, boleh dikatakan hampir setiap kali keluar memburu akan ada hasil yang dibawa pulang. Tetapi kali ini tiada satu hasil yang berjaya dibawa pulang. Maka sang raja mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke istana.

Dalam perjalanan pulang, beliau terjumpa dengan seorang tua, orang tua tersebut memberi tahu bahawa di istana nanti beliau akan ditimpa dengan satu musibah.

Orang tua tadi berpesan pada raja, semasa menghadapi musibah tersebut, baginda akan melihat 3 helai daun yang bertangkup. Pesan dia pada raja, 'buka daun-daun tersebut sebelum membuat keputusan'

Si raja pulanglah ke istana. Sesampainya di perkarangan istana, pengawal-pengawal telah memberitahu raja bahawa permaisuri telah berlaku curang dengan pengawalnya. Terkejutlah sang raja dengan kejutan berita yang merupakan musibah pada dirinya.

Lalu baginda masuk ke dalam istana, sepanjang jalan menuju ke kamar baginda, kesemua orang yang ditemui memberikan berita yang sama. Sang raja bertambah gundah dan bimbang. Beliau terus ke kamarnya. Sesudah membuka pintu kamar alangkah terperanjatnya beliau bila melihat isterinya sedang tidur di atas katilnya bersama seorang lelaki. Dan lelaki tersebut adalah salah seorang daripada pengawalnya.

Gundah dan marahlah hati si raja dengan perasaan yang bercampur baur. Dengan pantas tangannya mencapai pedang untuk membunuh kedua-duanya. Tetapi matanya terpandang akan 3 helai daun yang tertangkup di atas katil, teringatlah beliau akan pesanan org tua tadi. Disimpan kembali pedangnya perlahan lahan dan dibuka daun yang pertama dan terbacalah si raja akan isinya yang tertulis :

"LIHAT SEKALI JANGAN PERCAYA"

Lalu berfikir lah sang raja akan kata-kata tersebut, lalu beliau membuka daun yang kedua. Dibukanya dan terbacalah tulisan yang tertulis :

"DENGAR SEKALI JANGAN PERCAYA".

Bertambah teruja si raja dengan penemuan-penemuan ini, lalu beliau membuka daun yang ketiga dan tertulis di atas daun itu :

" GUNAKANLAH AKAL, DAN BUATLAH KEPUTUSAN YANG SEWAJARNYA"

Mengertilah sang raja akan mesej yang hendak disampaikan kepada beliau. Lalu dikejutkan isterinya dan pengawal yang sedang tidur itu. Dan diminta penjelasan tentang situasi yang sedang berlaku ini.

-----

Maka berceritalah si isteri dan pengawal pada sang raja dengan kebimbangan dan kekeliruan.

Rupa-rupanya, si isteri menyangka yang tertidur di atas katilnya adalah suaminya, lalu dia terus tidur di sebelahnya dengan keyakinan yang sedang tidur itu adalah sang raja, suaminya.

Cerita si pengawal pula, semasa dia sedang bertugas, matanya terasa terlampau mengantuk sehingga dia tertidur di atas katil raja tanpa disedari bahawa si permaisuri masuk dan tidur di sebelahnya.

Setelah si raja mendengar penjelasan dari kedua duanya, barulah beliau memahami keadaan itu, dan redalah api kemarahan beliau.

Maka disimpulkan keputusan bahawa apa yang beliau lihat dan dengar tidaklah semestinya benar, hanya dengan menggunakan akal yang waras dan dengan menyiasat sepenuhnya barulah ditemukan kebenaran di sebaliknya. Maka terselamatlah si isteri dan pengawal daripada menjadi mangsa keadaan dan fitnah.

-----

Pengajaran yang boleh kita dapati dari cerita ini :

1. Jgn mudah percaya pada pandangan mata tanpa bertanya, kerana pandangan mata boleh menipu.

2. Jgn cepat percaya pada kata-kata atau tuduhan yg dilemparkan, kerana tiada bukti yang kukuh dan nyata.

3. Berfikirlah dengan akal yang waras dan buatlah keputusan yang sewajarnya demi mendapatkan kebenaran dan keadilan.


-----


Kisah ini diceritakan kembali di sini dengan niat untuk berkongsi dan mengambil sedikit pengajaran daripada cerita ini kepada semua. Diharap tiada yang salah faham tentang niat dan tujuan cerita ini dipaparkan.

*Cerita ini adalah daripada pendengaran kami, sekriranya ada yang tersalah atau tersilap harap dapat dimajukan ke email warisanhanafi.usj@gmail.com


Sekian

Baca lagi...

Rabu, Januari 07, 2009

Ziarah Makam Ulama

Bermula 30 Dis 08 hingga 2 Jan 09, 5 orang anak muda telah mengalami satu perjalanan yang menarik, asyik dan menghiburkan.

Mereka bersepakat utk menziarahi makam2 lama kesultanan Perak dan ulama-ulama Kedah.

Kenangan terindah mereka adalah menziarahi Makam Al Marhum Haji Zain Bin Abdul Rahman dan Al Marhum Tuan Hussain Kedah Al-Banjari.. Meninjau rumah Encik Shafie Darus dan bekas tapak peninggalan rumah milik keluarga Al-Marhum Ustaz Hanafi

Pengalaman pendek mereka nanti akan cuba diceritakan sedikit masa lagi.... Insya Allah

Anak muda ini telah mendapat satu semangat utk mengadakan lagi perjalanan sebegini… sama ada menghabiskan menziarahi makam2 yang tidak sempat diziarahi atau pun ke Terengganu dan Kelantan.. Semasa di rumah baru persatuan petang semalam, YM Tuan Guru sendiri mencadangkan utk kami ke Terengganu dan Kelantan.

Sedikit gambar pembuka kisah

5 anak muda ini di Makam Sheikh Abdul Jalil (Mufti Negeri Kedah ke-2), teletak di Tanjung Pauh, Jitra Kedah. Al-Marhum Ustaz Hanafi semasa remajanya selalu menziarahi makam ini.

Makam Al-Marhum Haji Zain Bin Haji Abdul Rahman, di Masjid Alor Merah, Alor Setar.

Tuan Hussain Kedah Al Banjari

Tuan Guru Hj Zain Abdul Rahman dan Pak Ngah Shariff

Baca lagi...

Sabtu, Januari 03, 2009

Rombongan Kelas Latihan Usj ke Muzium Negara

Assalammualaikum,

Baru-baru ini Kelas Latihan USJ telah mengadakan rombongan kelas ke Muzium Negara untuk melihat Pameran Senjata Tradisional yang diadakan. Pameran yang jarang sekali diadakan ini banyak mempamerkan koleksi senjata-senjata lama yang dikumpul dari serata Tanah Melayu khususnya. Malahan senjata daripada zaman purbakala turut sama dipertontonkan kepada umum.


Rata-rata ahli-ahli merasa teruja dan ada juga yang terlopong dengan penemuan baru mereka semasa lawatan tersebut, sehingga ada beberapa ahli yang hampir terlupa masa untuk bergerak pulang sudah pun tiba. Walaubagaimanapun ahli tersebut dapat dihubungi dengan telefon bimbit beliau.


Di luar ruang pameran muzium kelihatan banyak gerai-gerai yang mempamerkan senjata-senjata koleksi masing-masing yang berusia ratusan tahun.Ada yang hanya untuk dilihat dan ada juga untuk dijual dengan harga yang sepatutnya.
Pengunjung berpeluang juga melihat bagaimana cara dan proses tukang besi membuat senjata dan mengukir hulu serta sarung di situ secara percuma. Malahan untuk masuk ke ruang pameran juga tidak diambil sebarang bayaran.

Syabas kepada ahli-ahli yang telah mendapat ilmu dan pengalaman baru semasa lawatan tersebut dan semoga ada lagi pameran yang seperti ini akan dipertontonkan kepada masyarakat demi memartabatkan lagi budaya dan warisan bangsa melayu khususnya di dalam dunia persilatan.

Tidak terlambat jika kami mengucapkan tahniah kepada mereka yang terlibat di dalam mengadakan pameran tersebut. Di atas usaha dan inisiatif pihak yang terbabit, dapatlah masyarakat dan khususnya ahli-ahli silat menambahkan lagi ilmu pengetahuan dan pengalaman di dalam dunia persilatan dan senjata warisan melayu. Sekian.



Segerak Searah!


*maaf kerana kekurangan gambar-gambar yang sesuai untuk ditontonkan

Baca lagi...

  © Ourblogtemplates.com Blogger templates 2008