<< Blog Kelas Latihan Silat Cekak Pusaka Hanafi USJ. *Bukan laman rasmi Silat Cekak:




<< pesan Guru : "Sebenar Guru ada Hakikat, Dikuat pula amalan Syariat, Ditambah pula ilmu Maarifat, Berpakaian pula dengan Isyarat."


<< e-mailkan artikel atau berita menarik ke warisanhanafi.usj@gmail.com





Pautkan berita terkini kami di blog/laman web anda

Silat Cekak Hanafi USJ [v2.1]

Grab this Headline Animator



Khamis, Januari 08, 2009

Kisah seorang raja

Kisah yang diceritakan oleh YM Guru Utama Md Radzi Hj Hanafi.

-----

Di sebuah negeri yang aman sentosa bertakhta seorang raja yang memerintah dengan adil. Satu hari sang raja keluar memburu bersama pembesar dan pengawal-pengawalnya. Sang raja ini terkenal dengan kemahiran memburu, boleh dikatakan hampir setiap kali keluar memburu akan ada hasil yang dibawa pulang. Tetapi kali ini tiada satu hasil yang berjaya dibawa pulang. Maka sang raja mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke istana.

Dalam perjalanan pulang, beliau terjumpa dengan seorang tua, orang tua tersebut memberi tahu bahawa di istana nanti beliau akan ditimpa dengan satu musibah.

Orang tua tadi berpesan pada raja, semasa menghadapi musibah tersebut, baginda akan melihat 3 helai daun yang bertangkup. Pesan dia pada raja, 'buka daun-daun tersebut sebelum membuat keputusan'

Si raja pulanglah ke istana. Sesampainya di perkarangan istana, pengawal-pengawal telah memberitahu raja bahawa permaisuri telah berlaku curang dengan pengawalnya. Terkejutlah sang raja dengan kejutan berita yang merupakan musibah pada dirinya.

Lalu baginda masuk ke dalam istana, sepanjang jalan menuju ke kamar baginda, kesemua orang yang ditemui memberikan berita yang sama. Sang raja bertambah gundah dan bimbang. Beliau terus ke kamarnya. Sesudah membuka pintu kamar alangkah terperanjatnya beliau bila melihat isterinya sedang tidur di atas katilnya bersama seorang lelaki. Dan lelaki tersebut adalah salah seorang daripada pengawalnya.

Gundah dan marahlah hati si raja dengan perasaan yang bercampur baur. Dengan pantas tangannya mencapai pedang untuk membunuh kedua-duanya. Tetapi matanya terpandang akan 3 helai daun yang tertangkup di atas katil, teringatlah beliau akan pesanan org tua tadi. Disimpan kembali pedangnya perlahan lahan dan dibuka daun yang pertama dan terbacalah si raja akan isinya yang tertulis :

"LIHAT SEKALI JANGAN PERCAYA"

Lalu berfikir lah sang raja akan kata-kata tersebut, lalu beliau membuka daun yang kedua. Dibukanya dan terbacalah tulisan yang tertulis :

"DENGAR SEKALI JANGAN PERCAYA".

Bertambah teruja si raja dengan penemuan-penemuan ini, lalu beliau membuka daun yang ketiga dan tertulis di atas daun itu :

" GUNAKANLAH AKAL, DAN BUATLAH KEPUTUSAN YANG SEWAJARNYA"

Mengertilah sang raja akan mesej yang hendak disampaikan kepada beliau. Lalu dikejutkan isterinya dan pengawal yang sedang tidur itu. Dan diminta penjelasan tentang situasi yang sedang berlaku ini.

-----

Maka berceritalah si isteri dan pengawal pada sang raja dengan kebimbangan dan kekeliruan.

Rupa-rupanya, si isteri menyangka yang tertidur di atas katilnya adalah suaminya, lalu dia terus tidur di sebelahnya dengan keyakinan yang sedang tidur itu adalah sang raja, suaminya.

Cerita si pengawal pula, semasa dia sedang bertugas, matanya terasa terlampau mengantuk sehingga dia tertidur di atas katil raja tanpa disedari bahawa si permaisuri masuk dan tidur di sebelahnya.

Setelah si raja mendengar penjelasan dari kedua duanya, barulah beliau memahami keadaan itu, dan redalah api kemarahan beliau.

Maka disimpulkan keputusan bahawa apa yang beliau lihat dan dengar tidaklah semestinya benar, hanya dengan menggunakan akal yang waras dan dengan menyiasat sepenuhnya barulah ditemukan kebenaran di sebaliknya. Maka terselamatlah si isteri dan pengawal daripada menjadi mangsa keadaan dan fitnah.

-----

Pengajaran yang boleh kita dapati dari cerita ini :

1. Jgn mudah percaya pada pandangan mata tanpa bertanya, kerana pandangan mata boleh menipu.

2. Jgn cepat percaya pada kata-kata atau tuduhan yg dilemparkan, kerana tiada bukti yang kukuh dan nyata.

3. Berfikirlah dengan akal yang waras dan buatlah keputusan yang sewajarnya demi mendapatkan kebenaran dan keadilan.


-----


Kisah ini diceritakan kembali di sini dengan niat untuk berkongsi dan mengambil sedikit pengajaran daripada cerita ini kepada semua. Diharap tiada yang salah faham tentang niat dan tujuan cerita ini dipaparkan.

*Cerita ini adalah daripada pendengaran kami, sekriranya ada yang tersalah atau tersilap harap dapat dimajukan ke email warisanhanafi.usj@gmail.com


Sekian

0 Ulasan:

  © Ourblogtemplates.com Blogger templates 2008