Taat ke Guru membawa berkat
Tunjang bagi sesuatu ilmu itu adalah Guru. Tanpa Guru, maka pincanglah kefahaman ilmu tersebut. Kerana itu di dalam Silat Cekak Ustaz Hanafi pemilihan Guru dibuat sendiri oleh Guru Utama, bukan oleh ahli/murid atau mana-mana pihak yang lain. Ini kerana hanya Guru yang sedia ada itu yang tahu akan ciri atau tanda² yang perlu ada pada penggantinya.
Almarhum Ustaz Hanafi telah memilih YM Guru Utama Hj Md Radzi Hj Hanafi sebagai pengganti beliau yang sah dan tunggal untuk meneruskan matlamat murni silat ini. Mandat sebagai Guru telah diperturunkan kepada YM Guru Utama Hj Md Radzi Hj Hanafi oleh Almarhum sendiri.
Inilah yang dilakukan oleh Almarhum Ustaz Hanafi di dalam soal pemilihan Guru. Dan begitu jua yang akan dilakukan kelak oleh Guru Utama kepada penggantinya. Maka seseorang anak murid yang benar² ikhlas di dalam mempelajari sesuatu ilmu dari seorang Guru haruslah menghormati dan meyakini akan keputusan Guru tersebut dan menyokong siapa jua pengganti yang dipilih oleh Guru Utama.
Sebab kita nak pandai pun sebab Guru, kita hanya menumpang keberkatan ilmu yang pada Guru. Kerana itu, diterangkan daripada awal di dalam pantang larang Silat Cekak Ustaz Hanafi iaitu, "Tidak boleh menderhaka kepada Guru".
Kes-kes yang kerap berlaku apabila murid menderhaka kepada Gurunya, kebiasaannya memang benar² terjadi senario "tiada ilmu yang lekat". Sebagai contoh, semasa dalam latihan boleh melakukan apa yang dipelajari, tetapi bila di dalam situasi yang terdesak atau memerlukan, ilmu yang dipelajari tidak menjadi lantas membawa malu atau padah pada diri sendiri. Itu adalah antara petanda bahawa ilmu yang dipelajari telah "tiada" dalam diri seseorang, dalam erti kata lain, "tiada keberkatan".
Setiap ilmu yang dipelajari adalah ilmu Guru, mana mungkin kita mengkhianati orang yang memberi kita ilmu dan berangan untuk terus mengamalkan ilmunya setelah kita mengkhianatinya. Lagi² kalau Guru itu adalah Guru sebenar Guru yang bermandat dan bersalasilah. Taat pada Guru membawa Berkat. Berhati-hatilah dalam berilmu, fahami betul² sesuatu perkara dan jangan rakus dalam membuat keputusan!
"Sebenar Guru ada Hakikat,
Dikuat pula amalan syariat,
Ditambah pula ilmu Maarifat,
Berpakaian pula dengan Isyarat."
"Taat ke Guru membawa berkat,
Sedikit belajar banyak yang dapat,
Jika merderhaka menjadi mudarat,
Semua ilmu tiada yang lekat."
Segerak Searah!
Hidup Cekak Hanafi!
0 Ulasan:
Catat Ulasan