Lading adalah alat unik bermata satu yang telah berbakti kepada bangsa Melayu bukan sahaja sebagai alat pertanian, bahkan juga peperangan. Meskipun ia bermula sebagai alatan pertanian, namun kepelbagaian fungsi Lading menjadikan ia kegemaran kelompok tertentu.
Perkataan Lading wujud dalam kamus bahasa segelintir masyarakat Nusantara, antaranya masyarakat Banjar, atau masyarakat Kutai, yang menakrifkan Lading sebagai sejenis pisau. Namun begitu, tarikh sebenar bermula rekabentuknya Lading gagal dikesan. Apapun yang jelas, bentuk asas Lading sejajar dengan struktur asas parang biasa.
Huraian ini bertujuan menafsirkan penggunaan Lading sebagai senjata dan senjata ini secara umumnya ditakrifkan sebagai sejenis parang, yang terdiri dari tiga bahagian utama: Hulu, Bilah, dan Sarung.
Para pengkaji sejarah umumnya bersetuju Lading berasal dari Sumatera, Indonesia, dan penggunaan Lading berkembang ke sebarang Selat Melaka dan menemui tempat di Kedah, yang pada masa itu sebuah kerajaan trans-Melayu yang mempunyai pengaruh politik dan dagangan yang kuat dengan kerajaan Acheh.
Namun begitu, tidak semua beranggapan begitu, berdasarkan kepada fakta bahawa kerajaan Kedah antara kerajaan tertua di dunia, bahkan jauh lebih tua dari kerajaan Acheh. Wallahualam.
Gambar yang berikut adalah Lading buatan Sumatera:
Ketika Darurat menyelubungi Tanah Melayu dari 1948 hingga 1960, masyarakat Banjar menyatukan bangsa Melayu di Sungai Manik, Perak menentang ancaman Komunis. Kebangkitan di Sungai Manik adalah contoh peperangan gerila dan penggunaan Lading begitu menonjol dalam kempen yang digelar Perang Sabil, atau Perang Sungai Manik.
-----
Di Tanah Melayu, Lading tidak terkenal sepertimana Keris. Bkan ia seringkali dikelirukan dengan sejenis alat lain, Kelewang, yang turut digunakan dengan meluas di Kedah dan Kelantan.
Gambar yang berikut adalah Kelewang buatan Kelantan:
Lading, untuk memudahkan pemahaman, diringkaskan kepada kepada dua susur galur berdasarkan lokasinya iaitu jenis Sumatera dan Tanah Melayu, dan jenis Tanah Melayu juga terbahagi kepada dua: Lading (am) dan Lading Cekak.
Perbezaan yang ketara antara Lading Tanah Melayu dan Sumatera ialah jenis pertama dibuat tanpa sarung, tidak seperti saudaranya dari tanah seberang. Harus diingat bahawa Lading (am) ialah pertama sekali sebagai alat kebun dan tidak dibuat menurut rukun-rukun tertentu dalam pembuatannya.
-----
Lading Cekak
Membicarakan Lading Cekak, senjata ini mula menonjol di mata masyarakat moden bersama-sama Almarhum Ustaz Hanafi di kemuncak penubuhan Silat Cekak sebagai penerus tradisi pendekar Melayu Kedah.
Gambar yang berikut adalah contoh Lading Cekak:
Menurut sejarah Silat Cekak, panglima-panglima perang Kedah membawa Lading ke medan perang. Yang paling terkenal adalah Panglima Ismail dan Panglima Tok Rashid.
Dalam sejarah moden, Parang Lading ini hanya dianugerahkan kepada orang-orang yang telah mencapai satu peringkat tertentu serta terbukti kesetiaannya kepada persatuan. Selalunya mereka yang mendapat anugerah ini adalah mereka yang telah bergiat aktif di dalam persatuan selama lebih dari 10 tahun.
Lading Cekak mempunyai tiga bahagian yang unik:
-Ukuran
-Genggam, serta
-Mata bilah
Sejajar dengan falfasah persenjataan Nusantara, Lading juga dibuat mengikut rukun-rukun tertentu yang disesuaikan mengikut ukuran tubuh penggunanya. Setiap ukuran sejajar tersurat dengan makna-makna tertentu.
Ukurannya adalah seperti berikut:
Panjang parang ini adalah sama dengan jarak dari telinga kiri ke mata kanan atau dari telinga kanan ke mata kiri si pemakai.
Falsafahnya: Apa yang terlihat dan terdengar pasti kena. (Bahagian A)
Lebar parang di sebelah hulu adalah sama dengan lebar kuku ibu jari si pemakai. (Bahagian B)
Lebar di hujung parang ini adalah sama dengan panjang ibu jari si pemakai. (Bahagian C)
Panjang mata parang pula adalah sama dengan jarak diantara dua mata si pemakai. (Bahagian D)
Hulu parang ini mengambil bentuk tapak rusa dan dibuat dari tanduk kerbau Malau betina. (Bahagian E)
-----
Gaya Genggam
Pengamal Silat Cekak diajar menggunakan genggaman terbalik, menyembunyikan senjata ini dibelakang tangan.
Hulunya dibuat dengan rekabentuk ergonomik, menyelesakan penggunanya menggenggam senjata itu di kedua-dua belah tangan.
Sebarang senjata,yang digenggam dengan cara terbalik, secara alami akan terjarak dari belakang tangan. Ini memaksa pergelangan bengkok ke bawah supaya bilah senjata kekal sejajar dengan belakang tangan.
Namun rekabentuk Lading yang inovatif menangani masalah tersebut. Hulunya dibuat melencong dari tangan, manakala bilahnya melencong kearah tangan, kadangkala dalam segi yang tajam, lantas mengurangkan ketidakseimbangan Lading kepada kosong.
Rekabentuk ini, dinamakan Lentik Pelepah Kelapa.
Bilah
Mata bilah Lading bukan sepanjang-panjang bilah tersebut. Mata yang tajam terletak dalam lingkungan beberapa sentimeter di hujung bilah. Innovasi ini membolehkan Lading berperanan bukan sahaja sebagai senjata memotong, bahkan turut menganjak fungsinya sebagai senjata perlindungan yang berkesan.
Bahagian Lading yang tumpul boleh digunakan untuk mengilas serangan tangan atau kaki dengan menemukan bilah tersebut ke bahagian tangan atau kaki musuh. Disaat besi tumpul itu bertemu daging mangsa, gerakan yang melurut meletakkan tekanan yang kuat keatas bahagian tersebut, sehinggalah daging itu dicarik oleh bahagian Lading yang tajam.
Apa yang terjadi adalah pemotongan yang dalam dan bersih sehingga ke tulang, dengan hanya mengaplikasikan gerakan singkat.
Oleh kerana pengguna Lading tampak ‘tidak besenjata’, musuh seringkali dikejutkan dengan kilasan yang mapan yang memotong disaat-saat terakhir.
Penggunaannnya
Lading di tangan pengamal Silat Cekak digeruni kerana ia adalah tambahan kepada buah-buah persilatan tersebut. Oleh kerana dasar tempur Silat Cekak menggunapakai falsafah 99 peratus bertahan dan 1 peratus menyerang, Lading tidak digunakan untuk memulakan serang, tetapi untuk membalas serangan.
Baca lagi...